Tuesday, December 2, 2008

KEYVEAS UGUT UNTUK TARIK PERHATIAN MEDIA

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, ugutannya untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda bertujuan membolehkan isu ISA mendapat perhatian meluas daripada pihak media.
Menurutnya, jika beliau tidak membuat kenyataan seumpama itu, isu ISA kemungkinan besar tidak akan mendapat perhatian mana-mana media."Tengok hari ini, surat khabar berbahasa Cina, blog, akhbar-akhbar yang jarang menulis mengenai PPP semua menyiarkan kenyataan saya semalam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau semalam membuat kenyataan partinya akan menarik diri daripada BN jika tidak ada sebarang tindakan diambil untuk meminda ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
Ditanya kenyataan pemimpin UMNO yang mahu PPP meninggalkan BN, Kayveas berkata, itu adalah contoh jelas bahawa UMNO sebuah parti yang angkuh dan tidak mahu mendengar pandangan pihak lain.
"Ini menunjukkan UMNO angkuh, tengoklah (teliti) apa yang saya hendak sampaikan, bukannya mengutuk saya," katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini hanya wujud cakap-cakap kosong sahaja BN mahu berubah selepas pilihan raya umum yang lalu tetapi belum ada usaha nyata ke arah itu.
Katanya, rakyat mahukan ISA dipinda maka isu itulah yang sepatutnya menjadi fokus dan bukannya aspek PPP mahu meninggalkan BN.
Beliau bagaimanapu
n berkata, pihaknya tetap berpegang teguh kepada kenyataan semalam, iaitu bersedia untuk keluar daripada BN jika tiada sebarang pindaan dilakukan ke atas ISA.
Dalam masa yang sama, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M. Kayveas agar tidak mengeluarkan kenyataan berupa ugutan kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ingatan itu perlu kerana ia tidak memberi gambaran yang baik tentang perpaduan dan kesatuan parti-parti komponen dalam BN.
Malah, tegasnya, ia juga selaras dengan janji yang pernah dibuat oleh semua pemimpin parti komponen BN sebelum ini yang mahu 'tenggelam dan timbul bersama BN'.
''Selepas menghadapi pilihan raya umum lalu, kita tahu ada pelbagai isu dan perkara yang perlu diperkukuh dan diperbaiki bagi memantapkan kembali kedudukan BN.
''Jadi saya fikir adalah lebih baik Kayveas membawa apa yang dirasakan tidak puas hati ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN daripada membuat sebarang kenyataan berupa ugutan ke atas perkara yang belum dibincangkan lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment