Wednesday, December 3, 2008

BERNARD MARAAT DAKWA CALUN 'BN BEBAS'

KENINGAU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Ellron Angin meminta pucuk pimpinan BN Sabah untuk memandang serius dakwaan bekas Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Benard S. Maraat berhubung beliau merupakan calon ‘BN Bebas’ pada pilihan raya kecil Pensiangan yang akan datang.
Katanya, dakwaan Benard itu amat serius memandangkan ia boleh mengelirukan rakyat, di samping boleh menggugat peluang BN untuk mengekalkan kerusi di kawasan itu.
“PBRS yang merupakan salah se-buah parti komponen BN melihat dakwaan Benard ini amat bahaya, dan pucuk pimpinan perlu mengambil tindakan,” katanya. Ellron turut mahu pucuk pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS), untuk menjelaskan kedudukan sebenar Benard dalam parti itu.
“Adakah benar dia sudah menyertai PBS,” Tanya Ellron – Benard merupakan mantan Setiausaha Agung PBRS pada sebelum ini.

Ellron berkata, jika benar Bernard adalah ahli PBS maka adalah lebih baik pucuk pimpinan parti (PBS) mengambil tindakan terhadap beliau, berhubung dengan tindak tanduk nya yang jelas menyerang Barisan Nasional (BN) daripada belakang.
Katanya, mantan ahli Parlimen itu terlalu banyak bercakap yang dia sendiri tidak tahu sejarah dan fakta serta membuat huru-hara di kawasan Pensiangan.
“Kenyataan nya (Benard) kepada rakyat Pensiangan, seolah-olah Presiden PBRS tidak bekerja, ini merupakan serangan peribadi,” katanya.
Menjawab soalan wartawan, Ellron berkata, Benard mempunyai pengaruh di kawasan Pensiangan, sama seperti pemimpin-pemimpin politik yang lain.
“Sedikit atau ramai penyokong, ia adalah pengaruh masing-masing, tetapi tidak semestinya hanya beliau yang lebih ramai penyokong,” katanya dan menekankan, rakyat Pensiangan masih berpihak kepada kerajaan BN.
Katanya, sejak dulu, sekarang dan selama-lamannya Pensiangan merupakan kubu kuat BN, dan tidak mungkin ia berpihak kepada pembangkang pada ketika kerajaan sedang mencurahkan pembangunan di kawasan itu. “Rakyat di sini dahagakan pembangunan,” katanya.

No comments:

Post a Comment